11:41:00 pm

Makmal Berpusat Dilancar, UMP Jalin Kerjasama Bidang Kejuruteraan Teknologi Farmaseutikal

Posted by Persatuan Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 1 (PeKa 1)

\

Makmal Berpusat Dilancar, UMP Jalin Kerjasama Bidang Kejuruteraan Teknologi Farmaseutikal


 

 



Kuantan, 17 Jun - Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini  melancarkan makmal berpusat yang akan menjadi pusat rujukan setempat bagi aktiviti penyelidikan dan pengujian  produk keluaran industri di Malaysia, khususnya di Pantai Timur. Majlis perasmian disempurnakan Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohd. Sharkar Shamsudin mewakili Menteri Besar Pahang.
Makmal berpusat yang letaknya di Taman Teknologi & Inovasi UMP Gambang ini lengkap dengan peralatan berteknologi tinggi yang berupaya menjalankan pengujian terhadap bahan kimia, bioteknologi dan bahan material yang melibatkan ujian kualiti air, keselamatan makanan,  produk halal, ubat-ubatan, produk kecantikan dan lain-lain. 
Menurut YB Dato' Haji Mohd. Sharkar dalam ucapannya berkata, "Kewujudan makmal UMP ini akan merancakkan pembangunan industri berteknologi tinggi bagi produk makanan halal, bioteknologi, pusat  maklumat dan teknologi komunikasi (ICT) dan pusat teknologi pertanian dengan kedudukan yang   strategik di  Taman Teknologi Gambang ini ."
 
Pada masa yang sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Exco Penerangan, Sains, Teknologi & Inovasi negeri Pahang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara UMP dengan Institut Teknologi Tallaght, Republik Ireland dan memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak  Organisasi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) bagi  penawaran program  ijazah berkembar (Dual Degree) dalam bidang kejuruteraan teknologi Farmaseutikal.
Kerjasama dengan ITT dan MOPI dalam bidang industri farmaseutikal ini bakal melahirkan jurutera dan pakar teknologis mahir  untuk bersaing dalam pasaran kerja pada masa hadapan.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr, Daing Nasir Ibrahim berkata, "Kerjasama strategik dengan ITT yang mempunyai bidang kepakaran dalam bidang ini, apatah lagi Republik Ireland yang merupakan pelopor dalam industri farmaseutikal menjadikan program yang ditawarkan di  UMP  lebih berdaya saing."

 


Katanya, "Kerjasama dengan MOPI yang mempunyai 34 industri berlatar belakangkan industri farmaseutikal di Malaysia ini memberi peluang pelajar UMP  dalam mendapatkan pengalaman menjalani latihan industri semasa di semester keempat dan keenam."
Selain itu pelajar juga berpeluang menjalani latihan industri dalam semester kelapan di industri antarabangsa dalam mahupun luar negara," katanya.

Kerjasama ini dijangka dapat merancakkan pembangunan industri Farmaseutikal di Malaysia dengan kemudahan  fasiliti dan penyelidikan yang dijalankan di UMP. 
UMP merupakan universiti pertama di Malaysia yang akan menawarkan program  Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Farmaseutikal) bagi pengambilan sesi akademik  mulai tahun hadapan.

 

Majlis menandatangani memorandum disempurnakan Naib Canselor UMP dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, manakala ITT diwakili  Presidennya, Pat Maclaughin  dan  Ketua Sains ITT, Micheal Ahern. 
Sementara itu, Organisasi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) diwakili Presidennya, Leonard Ariff Shatar dan Timbalan Presiden MOPI, Ching Kien Peng.
Hadir  menyaksikan detik bersejarah ini Duta Republik Ireland, H.E Declan Kelly  dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Hilmey Mohd. Taib.
  
Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor

0 comments: